Tuesday, August 18, 2009

Badan kita - Organ hati

Kerosakan hati akibat hepatitis mungkin membawa kepada sirosis dan kanser hati.


Hati adalah organ yang paling pantas tumbuh kembali. Keupayaan itu menyebabkan tempoh rawatan penyakit hati yang mungkin lebih pendek berbanding penyakit lain.

Fungsi Hati

Fungsi hati yang utama adalah penyahtoksikan serta metabolisma badan.
Fungsi lain bukan sahaja dalam metabolisma makanan malahan sebagai
penawar toksin atau apa juga racun yang masuk ke dalam badan. Hati menguraikan ubat dan racun ini amat penting bagi mengelakkannya
menjadi racun dan merosakkan badan.
Fungsi hati boleh terganggu disebabkan hepatitis atau keradangan hati.

Hati juga boleh menukar sesetengah bahan menjadi bahan aktif
yang boleh digunakan badan dan membuang bahan sampingan
berbahaya yang dikeluarkan melalui najis atau air kencing.

Hati juga menghasilkan hempedu yg disimpan di dlm pundi
hempedu unruk digunakan dlm proses penghadaman lemak.
Selain itu, hati turut berfungsi sebagai kilang simpanan untuk gula,
lemak, protein dan vitamin yang akan dikeluarkan mengikut
keperluan badan.

Sejenis sel khusus di dalam banyak-banyak sel hati dipanggil
"sel kupffer"
membentuk satu sistem pertahanan badan.
Ia membantu untuk memakan
bakteria dan bahan-bahan merbahaya
yang lain. Kekurangan protein tertentu
akibat kegagalan hati menyebabkan seseorang itu sangat mudah dijangkiti
penyakit kerana sistem imun badan yang lemah.

Kerosakan Hati

Kesemua fungsi-fungsi ini akan terganggu jika berlaku kerosakan
pada hati.Kerosakan hati boleh menyebabkan kegagalan  hati berfungsi secara mendadak (akut) dan boleh menyebabkan pesakit koma akibat pengumpulan toksin di dalam badan.

Walaupun kegagalan akut fungsi hati jarang berlaku, jumlah kematian
di kalangan pesakit yang mengalaminya amat tinggi dan boleh berlaku
dalam masa beberapa minggu sahaja.

Pesakit juga boleh mengalami pendarahan teruk akibat kegagalan hati menghasilkan faktor pembekuan darah.

Gejala kerosakan Hati

Antara gejala masalah hati adalah hilang selera makan, muntah, demam
dan badan menjadi gatal di banyak tempat. Pesakit juga mungkin menunjukkan simtom mata berwarna kuning dan air kencing kuning keemasan seperti teh 'O' pekat.

Pesakit juga mungkin akan perasan warna najis yang kurang pekat
kerana hati tidak dapat menghasilkan hempedu (yang memberikan
warna najis). Pesakit juga mungkin mengalami simptom penyakit kuning,
loya, sakit pada kawasan hati dan hati bengkak.

Punca utama keradangan hati di Malaysia adalah akibat jangkitan virus, 

bakteria, fungus atau parasit. Virus merupakan punca utama
hepatitis di negara ini, dengan Virus Hepatitis A (HAV) yang merebak
melalui minuman dan makanan paling banyak ditemui.

Selain HAV, virus hepatitis jenis B (HBV) dan C (HCV) juga kerap ditemui
di Malaysia berbanding jenis D, E, F dan G yang jarang ditemui di Malaysia.
Virus Hepatitis E (HEV) mempunyai ciri-ciri yang hampir serupa dengan
HAV seperti merebak melalui air atau orang yang menguruskan makanan.

HEV bagaimanapun kerap ditemui di India dan Bangladesh dan
boleh di bawa masuk ke negara ini oleh imigran dari negara terbabit.

Penawar Hati

Keupayaan hati untuk tumbuh semula, dan lebih pantas berbanding
organ lain membolehkannya menggantikan tisu hati yang rosak. Namun,
ini tidak bermakna pesakit tidak perlu 'menjaga hati' mereka kerana
memikirkan hati boleh membaiki diri sendiri.

Semua pesakit hepatitis perlu mengawal pemakanan, pengambilan
nutrien dan juga mengelakkan pengambilan ubat, kecuali yang perlu.
Pesakit perlu mengurangkan benda-benda berlemak, banyakkan
pengambilan karbohidrat serta jauhkan dari mengambil ubat-ubatan
termasuk paracetamol.

Mereka juga perlu memastikan pengambilan protein dan air
secukupnya untuk membantu pemulihan hati serta mengambil
suplemen vitamin tertentu seperti vitamin K untuk masalah pendarahan.

Bagi jangkitan HAV iaitu yang paling banyak berlaku bagi hepatitis
akibat jangkitan virus, kebanyakan pesakit sembuh akan sendiri dan
tidak perlu dimasukkan ke wad. Pesakit HAV dianggarkan pulih
sepenuhnya selepas kira-kira 45 hari, dan virus tersebut juga
akan hilang sepenuhnya dari badan pesakit.

Jangkitan HBV dan HCV bagaimanapun mungkin memerlukan
rawatan ubat tertentu seperti interferon, ubat bagi mengurangkan
replikasi virus dan ubat untuk menggalakkan penghasilan antibodi.
Hampir 10% pesakit HBV dan sehingga 50% pesakit HCV mungkin
akan menghidap sirosis dan kanser hati. Dari segi keberkesanan
ubat yang digunakan pula, jangkitan HCV lebih sukar dirawat
kerana kadar keberkesanan rawatan cuma 40% berbanding
60% untuk HBV.

Pemindahan Hati

Kebolehan istimewa hati untuk tumbuh semula memudahkan
pendermaan hati memandangkan hanya sebahagian kecil organ
tersebut diperlukan untuk transplan kepada pesakit yang memerlukan.
Tisu hati juga dapat tumbuh kembali menjadi organ hati yang penuh
walaupun jika cuma tinggal 25% tisu hati yang sihat.

Walaubagaimanapun pemindahan hati selalunya dilakukan bagi kes
hepatitis yang bukan berpunca daripada jangkitan virus atau kuman.
Pesakit yang mengalami kerosakan hati akibat jangkitan mempunyai
risiko hati baru yang dipindahkan turut dijangkiti.

Jika tiada lagi virus atau kuman punca hepatitis di dalam badan pesakit,
doktor mungkin akan menimbangkan untuk melakukan pemindahan hati. Pemindahan hati untuk hepatitis yang berpunca daripada bahan
kimia atau toksin lebih mudah dilakukan.

Namun, sebarang toksin perlu dibuang terlebih dahulu dan pesakit
yang ketagihan (ubat atau alkohol) perlu dipulihkan dahulu
sebelum pemindahan hati dijalankan.

Ini dapat mengelakkan pembaziran hati yang didermakan kerana
ia juga akan rosak jika toksin, ubat atau alkohol terus diambil pesakit
Antara individu yang akan mendapat manfaat besar melalui
pemindahan hati adalah pesakit hepatitis autoimun.

Janganlah kita mengabaikan kesihatan mana-mana organ sekalipun,
termasuk hati, dengan alasan ia dapat pulih sendiri dan tidak membawa
maut dengan serta-merta. Bayangkan hati seperti otak dan tulang belakang
yang membolehkan kita menggerakkan badan serta menjalankan aktiviti harian.

Tanpa hati, kita bukan sahaja akan mati, malahan akan hilang kawalan
dalam fungsi kimia utama badan yang tidak jauh bezanya dari
perlahan-lahan menjadi lumpuh. Sayang diri, sayang hati.

1 comment:

EZATUL HANI said...

sama-samalah kita berdoa supaya kita sihat dan ceria, panjang umur n murah rezki

Post a Comment