Salam.Lama rasanya tak buka blog .Minggu ni saya disibukkan dengan pelbagai jawatan rumah.
Pertama, Nephew balik ke rumah kerana bercuti. Budak ni kalau
outing ,
call kami. Sebagai ibubapa saudara tentu ada urusan2nya yang hendak dibereskan maklumlah emak ayahnya jauh. Biasalah, sebarang kesulitan dan aduan terus disalurkan padaku dan hubby untuk tindakan selanjutnya .Saya cuba membantu menjadi pemudah cara.InsyAllah.
Dia pula balik ke rumah membawa 2 orang kawan, murid tingkatan 1 . Saya tak banyak berkira-kira dan terus mengizinkannya.kesian, keluarganya jauh di Pulau Pinang mana cukup masa dia nak balik sehari dua.Fikirku..
Secara kebetulan minggu ni hubby kursus. along pula ke KL kemudian ke Ipoh kerana ada urusan pembelajaran.
Semua ada hala tuju dan urus diri masing2.
Namun, rasanya minggu ni tugasku terlebih berbanding mereka kerana menguruskan keperluan anak2 dan anak saudara sendirian semasa ketiadaannya.
Rutinku bermula pada Hari Jumaat, balik kerja pukul 12.30 tengah hari, terus ambik Hani kat sekolah, then sampai saja kat rumah, Hani dan angah kukerahkan ke dapur untuk masak . Kebetulan angah balik bercuti dapat membantu ....meriahlah jugak kat dapur . Masing-masing dapat turun padang saling bekerjasama. Sebenarnya saya cepat ke kantin di tempat kerja pagi tu .. tak sempat membeli lauk untuk tengah hari, impaknya kenalah masak .
Namun, masalah tetiba menimpa apabila menjenguk dapur. Semuanya gara-gara terlupa nak keluarkan ikan dan ayam kat peti sejuk,kejunglah semua benda2 tu. Eh, tak sanggup nak tunggu dia cair!!!! cari alternatif , masak yang simple dan senang di masak. Kenyang juga. Alhamdullilah.
Habis masak dah pukul satu lebih. Kemudian mengemas2 rumah .Tak sempat nak rehat, bergegas pula hantar angah ke kelas smart reader. Angah ngajar iqra' kat sana gantikan along.
Lepas tu saya meneruskan perjalanan ambik nephew kat asrama.
uh , jauh jugak berpusing2, meronda2 dan bersiar2 petang tu.!!! ke selatan utara, timur dan barat. Nasib baik Hani ponteng kelas tuisyen. kalau tidak, emmm, lembik rasanya kat atas jalan raya!!
Semua urusan selesai pukul 6 lebih .
then balik, manage kerja2 rumah yang lain pula .
kemudian hari berikutnya ada agenda lain. menyambung urusan lain2 dan keperluan anak2 dan anak2 saudara. Entah berapakali saya keluar masuk, kat rumah.dah tak ingat dah .
malam tu, Selepas makan malam. Sempatlah berbual dengan kawan-kawan nephew ni. tanya fasal familynya. Tetiba dia beritahu ibubapanya divorced dan mereka tinggal dengan ibu masing2. Saya terdiam jab. tak nak bertanya lagi bimbang kalau2 menjadi isu sensitif..Teringatkan kata2 seorang teman..'aku dah puas nangis dah'.
lagipun saya baru je beberapa hari ditinggal2kan dah kalut.dan susah ku bermusim. kutahu....
ibu2 tunggal tu susahnya banyak musim.....
tulah, kadang2 kita selalu mengeluh susah, tapi sebenarnya ada lagi orang yang lebih susah. Kalau kita rasa diduga..ada lagi orang lain yang Allah duga dengan dugaan yang berat2.
Especially untuk ibu tunggal, tentu banyak menempuh dugaan..
mudah2an diaorang tu tabah menghadapinya. Mungkin ada hikmah di sebalik kesusahan yang dihadapi. Mungkin juga mempunyai rahsia tersendiri..
p/s: Untuk peringatan diriku dan rakan2 yang lain.
Kita akan lalui 15 Sya'ban beberapa hari lagi.iaitu nisfu Sya'aban..
sedikit info menarik tentang bulan Islam ni...
Hari nisfu sya'aban adalah hari di mana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya'aban bermula pada 14 hb sya'aban sebaik sahaja masuk maghrib)
Dalam kitab yasin ada disarankan supaya membaca yaasin dengan ikhlas selepas solat Maghrib
- Membaca surah Yassin dengan niat panjang umur dalam mentaati Allah diikuti dengan doa-doanya.
- Membaca surah Yassin kedua dengan memohon luaskan rezki yang halal dan diberkatinya.sert doa-doanya..
- Membaca surah Yassin ketiga diniatkan memohon Allah tetapkan iman dan mati dalam iman serta membaca doa-doanya..
Buatlah amalan yang termampu dilakukan. Moga amal kita diterima dan diberkati....
NOTA KAKI
Saya amat tertarik dengan komen Sakinah dlm blog saya mengenai membaca Yasin malam nisfu Syaaban ini. Saya telah berjumpa beberapa orang ustaz dan ustazah untuk meminta pandangan tentang amalan nisfu Syaaban dan bidaah.. mereka merumuskan seperti apa yang disampaikan oleh En Mohd Yusof Abas..
Selamat membaca moga bermanfaat.
Islam tidak pernah menolak amalan turun-temurun yang telah menjadi `uruf‘ (budaya yang baik dalam masyarakat) bagi sesuatu bangsa. Justeru, di atas dasar apakah sesetengah fahaman atau mazhab yang cuba menggugat amalan-amalan baik yang diamalkan dalam sesebuah masyarakat itu? Sedangkan, amalan-amalan baik yang diamalkan seperti membaca Yasin (secara beramai-ramai pada malam Jumaat) dan juga menyambut Maulidur Rasul (Maulud Nabi s.a.w) itu sebenarnya menyeru ke arah perpaduan dan mengeratkan hubungan sesama umat.
Sekalipun amalan-amalan tersebut dianggap sebagai bidaah, harus difahami bahawa tidak semua bidaah itu sesat. Amalan-amalan yang dinyatakan itu sebenarnya adalah termasuk dalam bidaah hasanah (bidaah yang baik). Oleh yang demikian, kita harus menerima adanya bidaah yang baik dan menolak bidaah yang buruk.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Syafie, bidaah itu ada dua, iaitu terpuji dan tercela. Apa yang sesuai dengan sunah itu, terpuji, dan apa yang tidak sesuai dengannya dianggap tercela. Demikian juga menurut Jalaluddin As-Syayuti, bahawa bidaah itu ada lima kategori iaitu, bidaah wajib, bidaah sunat, bidaah halal, bidaah haram, dan bidaah makruh.
Demikian juga dengan penegasan Nabi s.a.w dalam sebuah hadis yang bermaksud:“Sesiapa yang memberi contoh kebaikan, maka ia mendapat pahala dan pahala orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat; dan sesiapa yang memberi contoh kejahatan, maka ia mendapat dosa dan dosa orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat.” (Petikan kitab Tanbihul Ghafilin, halaman 13).
Dapat difahami daripada hadis tersebut, perkara-perkara bidaah ini bukan semata-mata hanya keburukan atau dhalalah (sesat). Sebagai contoh, masyarakat hari ini membina sekolah, membangunkan pelbagai prasarana untuk kebaikan umat seluruhnya, sedangkan semuanya tidak ada pada zaman Rasulullah s.a.w. Sedangkan, pembangunan yang dilakukan itu adalah satu bidaah yang baik kerana umat Islam mendapat manfaat di atas kemudahan-kemudahan yang dilaksanakan itu.
Adakah Saidina Umar melakukan bidaah dhalalah (solat tarawih 20 rakaat)? Tentulah tidak, kerana Umar ada mengatakan sebaik-baik bidaah adalah sembahyang tarawih 20 rakaat (bidaah hasanah). Malahan di Arab Saudi pun sembahyang sunat tersebut dikerjakan sebanyak 20 rakaat. Hadis di atas juga menggambarkan betapa luasnya agama Islam ini dan janganlah kita sendiri yang menyempitkan perkara yang terbuka luas itu.
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Engkau cuba menyempitkan benda yang luas?”
Hari lain dan malam lain, masyarakat susah untuk mendekati al-Quran apatah lagi untuk sekadar membaca Yasin kerana sibuk bekerja. Jika pada malam Jumaat dianggap bidaah untuk membaca Yaasin, apakah alternatif atau program agama yang lain yang boleh dicadangkan oleh mereka (Wahhabi) untuk merapatkan hubungan di kalangan masyarakat kita pada hari ini?
Apa yang kita lakukan ini semua merupakan satu alternatif mengerjakan amalan baik dan beroleh pahala (bidaah hasanah). Sikap keterbukaan Rasulullah s.a.w sendiri yang begitu berlapang dada bukan sahaja dengan orang Islam tetapi dengan musuhnya orang Yahudi ketika baginda berhijrah ke Madinah merupakan sikap paling berharga untuk kita teladani.
Baginda menerima amalan baik yang dilakukan oleh orang Yahudi. Baginda ikut berpuasa pada hari 10 Muharam, malah baginda bersabda yang bermaksud: “Aku lebih berhak dari kamu. Oleh hal yang demikian itu, aku akan berpuasa bukan sahaja pada 10 Muharam malah pada hari 9 Muharam.” Oleh sebab itu ia disunatkan sehingga hari ini dan banyak diamalkan oleh masyarakat kita.
Kesemua amalan yang dilakukan pada hari ini mempunyai asas yang kukuh sama ada secara umum atau khusus mahupun menerusi lafaz atau isyarat secara `harfi’ atau `mafhum‘.
Kalau semuanya ini adalah bidaah, maka tidak perlulah kita pergi berjumpa doktor, tidak perlu berkereta dan tidak perlu ke sekolah atau ke pusat pengajian tinggi kerana semuanya adalah bidaah.
Apa yang kita amalkan itu bertujuan merapatkan hubungan kemesraan dan tali silaturrahim serta mewujudkan perpaduan di kalangan masyarakat. Jangan kita menyempitkan kefahaman dalam ruang yang jumud dan sempit mengenai Islam. Tidakkah kita selalu mendengar pada setiap hari Jumaat, khatib membacakan firman Allah yang bermaksud: “Allah menyuruh kita berlaku adil dan cemerlang dalam semua keadaan.” (An-Nahl: 90).
Dalam sebuah kisah, diceritakan seorang ulama dari Mesir telah pergi ke Eropah. Apabila ditanya oleh seorang paderi; “Adakah dalam al-Quran mengandungi ilmu membuat roti atau tidak?” Maka, ulama itu menjawab, “Ada”. Lalu, dibacanya ayat Quran yang bermaksud: “Tanyalah ahli ilmu pengetahuan sekiranya kamu tidak mengetahui.” (An-Nahl: 43)
Demikian halnya, Allah mengarahkan kita berlaku adil, cemerlang dalam segala keadaan. Maka, semua kebaikan sama ada dalam rumah tangga, masyarakat dan negara perlu kita pertahankan. Kalau kita mencari hadis yang menyuruh umat menyambut Maulidur Rasul, maka kita tidak akan terjumpa secara terang dan khusus tetapi dapat ditemui secara mafhum dan umum.
Jika pahala amalan orang lain tidak boleh diniat hadiah pahalanya kepada orang lain, maka semua amalan tidak terpakai dengan niat. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:“Segala amalan dikira mengikut niat dan bagi seseorang itu apa yang diniatkannya.” Sedangkan fahaman Wahhabi menegakkan bahawa pahala doa hanya akan sampai kepada ahli keluarga sahaja.
Fahaman seperti ini memang tidak sesuai di Nusantara. Oleh sebab itu, kita menjemput para jemaah untuk meramaikan sembahyang jenazah tanpa mengira siapa, keluarga ataupun tidak. Itu pun semuanya dengan izin Allah jua akan kemakbulan doa dan pahala yang diperoleh si mati.
Oleh yang demikian, Islam menganjurkan amalan menolong keluarga yang dalam kesedihan akibat kematian. Amalan tersebut berupaya merapatkan lagi silaturahim dan kasih sayang di kalangan masyarakat selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kita percaya semua amalan itu ada asas dan hujah agamanya, bukan sesuatu yang direka-reka sesuka hati atau mengikut hawa nafsu sahaja.
Kita sebenarnya tidak ada masa untuk berkelahi kerana agenda kita belum selesai, iaitu perpaduan umat Islam seluruhnya dan keamanan sejagat. Penulis percaya apabila kita bersatu, tenteram dan aman makmur, musuh-musuh kita akan merana dan berasa tidak senang hati.
Allah berfirman yang bermaksud: “Jangan berkelahi (berselisih), kamu akan kecewa dan hilang kehebatan kamu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah bersama-sama mereka yang sabar.” (Al-Anfal: 46)